Selasa, 5 Mei 2009

PERUTUSAN KETUA PUTERI BAHAGIAN ARAU

Assalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh…
Bismillahirahmanirahim…

Syukur Alhamdulillah, kerana dengan izinNya jua saya dapat berada bersama Pergerakan Puteri Umno Bahagian Arau bagi menggalas serta melaksanakan tanggungjawab sebagai
Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Arau bagi penggal 2008-2011.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan, sokongan serta kerjasama yang telah diberikan oleh barisan ahli jawatankuasa, ketua puteri cawangan serta seluruh ahli puteri cawangan yang memilih saya pada pemilihan yang lalu. Tanpa sokongan dan kepercayaan yang jitu, sudah pastinya saya tidak akan berada di kedudukan sekarang. Oleh itu, marilah kita mempertingkatkan tekad serta azam untuk terus bersama memperjuangkan kepentingan Bangsa serta memartabatkan Agama dan Negara yang kita cintai ini.

Sesungguhnya sesuatu pergerakan itu tidak mampu bergerak atau berjuang sekiranya tidak ada organisasi yang hebat dan kukuh. Dengan itu, tanggungjawab ini bukan hanya untuk individu, sebaliknya kita semua sebagai ahli-ahli puterilah yang akan memegang peranan sebagai jentera untuk bersama-sama menghadapi cabaran demi memperkukuhkan landasan perjuangan yang lebih perkasa dalam usaha membawa anak bangsa menghadapi cabaran menjelang malaysia mencapai negara maju.

Sinonim dengan slogan `Puteri Generasi Wanita Prihatin’` Prihatin Berilmu, dengan itu Puteri Umno Bahagian Arau telah menyediakan laman ini supaya semua ahli-ahli puteri dapat menjadikan laman ini sebagai medan untuk mencetus idea dan pandangan, bertukar-tukar fikiran serta menerima kritikan yang membina. Di samping itu, melalui laman ini juga dapat diketahui setiap program yang dilaksanakan atau bakal dilaksanakan oleh pergerakan puteri umno arau seperti yang sedang dijalankan kini ialah aktiviti senam earobik. Aktiviti tersebut dijalankan mengikut DUN pada hari ahad yang akan ditetapkan oleh penyelaras kelima-lima DUN seperti Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat, Sanglang dan Pauh.

Senaman Aerobik ini adalah sebagai simbolik pembukaan atau permulaan aktiviti yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat dan mencetuskan kekuatan mental dan fizikal agar pergerakan puteri arau lebih mantap, berkeupayaan, cergas dan semangat yang ada itu menjadi lebih kental serta berani menggalas cabaran yang bakal dihadapi.

Akhir kata, saya mengharapkan kepada seluruh ahli Pergerakan Puteri Umno Bahagian Arau agar terus bersama-sama menyatu minda, berkeyakinan, berusaha, berani dan bersedia memperkukuhkan semangat perjuangan, memperkasakan sayap parti demi keutuhan dan kekuatan UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan negara. Semoga terus menjadi wadah umat melayu dan dihormati. Walaupun hala tuju pergerakan puteri umno adalah bertumpu ke arah kebajikan dan pendidikan, namun perjuangan yang satu `HIDUP UMNO, HIDUP MELAYU!’ perlu dititik beratkan kerana puteri umno harus ingat, jasa UMNO yang terbesar adalah memperjuangkan dan mencapai kemerdekaan untuk negara yang tercinta. Oleh itu, Puteri Umno yang menjadi sayap kepada parti harus relevan dan matang untuk bersama dalam perjuangan UMNO.


Sekian.


Ikhlas,
Amzira Abdullah.
Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Arau.

1 ulasan:

  1. semoga tugasan baru ini dilaksanakan ketua puteri bahagian arau dengan penuh dedikasi, semngat dan ketabahan yang tinggi. tiada pemimpin yang senang lenang memegang jawatannya, pasti banyak dugaan yang akan datang dari segala sudut. Good Luck to you and to all Puteri's out there...

    BalasPadam