Khamis, 11 Mac 2010

BUKAN MUSTAHIL MELAYU BERSATU

Fatini Yaacob menunjukkan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata.
Datin Seri Fatini Yaacob ialah Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia
Utusan, 11 Mac 2010 / 25 Rabiul Awal 1431
(Dibawah ini adalah rencana yg ditulis oleh Datin Seri Fatini dalam Utusan Malaysia yang bagi saya kata-katanya amat menyentuh di hati...sama-sama kita renungkan)

KELMARIN buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau kerana keberanian melancarkan buku itu. Walaupun perjuangan Natrah dahulu tidak diterajui oleh pemimpin UMNO, hanya disertai oleh ahli-ahli UMNO tetapi atas kebenaran sejarah dan apresiasi sejarah, Muhyiddin sanggup meletakkan dirinya melancarkan buku ini. Kerana buku Natrah adalah kisah benar satu episod sejarah yang sanggup meleburkan kepentingan politik demi agama.

Saya berterima kasih dan percaya dengan kesudian Ustaz Nasharudin Mat Isa dan jawatan kuasa tertinggi Pas yang hadir ke majlis pelancaran buku ini juga sebagai menyatakan istiqamah parti tersebut, dalam menyambut usaha yang baik ke arah perpaduan Melayu dan mengangkat martabat Islam.

Saya secara peribadi turut mengundang ahli jawatankuasa tertinggi parti PKR ke majlis pelancaran buku ini. Namun sayangnya hasrat saya untuk melihat detik perpaduan tiga kelompok pemimpin tertinggi parti ini dalam majlis pelancaran buku Natrah yang dulunya memang menyatukan orang Melayu dalam perjuangan membela Islam dalam Natrah, tidak tercapai.

Saya percaya dan doakan agar satu hari akan datang juga detik ini. Detik penyatuan dan perpaduan Melayu demi agama yang dinaungi oleh kasih sayang Allah.

Sebenarnya buku Natrah yang saya tulis kali ini, menghantar mesej dan makna yang lebih besar daripada Natrah yang saya tulis dalam majalah Dewan Masyarakat 20 tahun yang lalu. Buku itu menuntut pemerhatian yang teliti dan tindakan yang penting terhadap memartabatkan Islam di tempatnya, terutama dalam politik dan perundangan negara kini.

Sebenarnya di sebalik kisah Natrah ada perjuangan yang lebih hebat, daripada sekadar kisah sedih hidup Natrah dan kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi. Dan semua ini tidak ada di dalam majalah Dewan Masyarakat yang saya tulis dahulu.

Buku ini adalah himpunan semangat dan roh pejuang-pejuang Natrah yang memperjuangkan iman di dada Natrah. Keikhlasan perjuangan mereka inilah dengan redha Allah meresap jauh menyentuh hati orang Melayu turun temurun, zaman berzaman sehingga kini. Kisah perjuangan itu saya rakam khas sehingga lapan bab di dalam keseluruhan 23 bab buku itu. Sebenarnya kisah pengorbanan dalam Natrah ini membabitkan pelbagai jenis. Ada pengorbanan wang ringgit dan harta benda untuk dibuat derma bagi pembiayaan mahkamah dalam kes Natrah. Ada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh pejuang-pejuang Natrah seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn (Tun), Ahmad Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

Namun yang paling tinggi nilainya adalah pengorbanan jiwa dan pengorbanan kepentingan diri dan kepentingan politik. Saya terharu membaca pengorbanan ini. Walaupun diterajui oleh Dr. Burhanuddin Helmy dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dianggap sebagai parti kiri semasa itu, namun ahli-ahli UMNO semasa itu seperti Sardon Jubir (Tun), Darus Sharrif yang juga jawatankuasa UMNO Johor dan Geylang Singapura turut sama berada dalam Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN). Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn pula sanggup meneruskan usaha-usaha perjuangan membebaskan mereka yang dikenakan hukuman gantung kerana merusuh selepas semua JKTN dipenjarakan.

Kelompok kecil ahli-ahli parti Hizbul Muslimin juga ikut berjuang bersama. Ini bermakna pada masa Natrah, demi kepentingan agama, semua orang Melayu meleburkan kepentingan peribadi masing-masing demi membela Islam yang dihina penjajah. Keadaan yang sama barangkali tidak jauh bezanya jika kita lihat keadaan politik hari ini. Setelah dekat 60 tahun tragedi Natrah, kini kita kembali berada dalam keadaan yang berat dan mengancam dari segi politik.
Kalau dulu musuh politik dan agama kita adalah jelas iaitu penjajah, sekarang kita jadi bingung kerana keadaan kuasa yang semakin terancam walaupun kuasa masih ada di tangan kita. Kuasa majoriti yang sedikit kita pegang semakin goyah kerana perpecahan sesama kita.

Dalam keadaan tertentu, suasana penghinaan Islam pada zaman penjajah dahulu juga wujud, walaupun barangkali dalam bentuk yang berbeza. Penghinaan terhadap Islam sekarang berlaku dari dalam dan luar diri kita.

Dari ‘dalam diri’ kita’ penghinaan berlaku apabila kita tidak meletakkan martabat Islam pada tempatnya. Dalam percaturan politik, kita meletakkan kepentingan diri dan kuasa melebihi kepentingan awam dan kepentingan Islam.

Kita sanggup mengetepikan Islam dan hukum-hakam Islam asal kuasa dan kepentingan diri dipenuhi. Elemen ini ada pada semua parti Melayu hari ini. Mereka masih belum boleh duduk semeja, berdamai dan berunding demi sebab yang lebih besar – meleburkan kepentingan parti demi survival Islam di tangan orang Melayu.

Dari ‘luar diri’ kita, penghinaan terhadap Islam jelas berlaku apabila orang bukan Islam sudah berani membuat provokasi kepada agama dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Penggunaan kalimah Allah, mempersoalkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah contoh-contoh provokasi yang jelas terhadap orang Islam. Mereka akan terus berani berbuat demikian sekiranya kita tidak kuat memegang prinsip jati diri orang Islam.
Kita harus belajar daripada sejarah dahulu termasuk sejarah perpaduan yang unik lagi istimewa dalam kisah Natrah di kalangan bangsa-bangsa Cina, India dan Serani. Mereka ikut berjuang membantu orang Islam ketika itu sehingga ikut terkorban. Semangat itu hanya diperolehi kerana kesatuan jitu orang Islam ketika itu.

Hanya dengan perpaduan dan penyatuan hati orang Melayu yang ikhlas kerana Allah, yang tidak pentingkan diri, yang memungkinkan kita membuat percaturan politik yang bijaksana, yang tidak merugikan Islam pada zaman mana pun jua, termasuk masalah perpecahan politik sesama kita pada hari ini.

Bagi saya sebagai pembaca sejarah, tidak ada suatu pun kuasa yang dapat menghancurkan dan meleburkan kita, sekiranya kita bersatu hati dan mengikhlaskan diri demi perjuangan yang murni – iaitu agama. Pengorbanan ini bukannya sukar walaupun tidak terlalu mudah.
Bangsa yang besar adalah bangsa yang tahu menilai pengorbanan pejuang-pejuang yang terdahulu. Pemimpin yang besar adalah pemimpin yang tahu membuat pengorbanan diri demi kepentingan bangsa dan negara.

Natrah di tangan saya kini telah melampaui sifatnya sebagai penceritaan seorang individu. Natrah adalah kisah kita, kisah perjuangan kita. Jika demikian kentalnya roh dan semangat penyatuan para pejuang dan orang Islam masa dulu sehingga menyusup ke dalam sanubari kita sehingga ke hari ini, apakah percaturan politik yang bakal kita hantar kesannya kelak untuk generasi Islam 60 tahun lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan